Blog
Spread the love

Seni Silat, Seni Haruman.

Jangan silap faham.

Kami bukan orang yang layak untuk menghurai maksud seni, kerana ramai lagi sarjana yang ada boleh hurai, dan kita boleh quote perkataan mereka.

Cuma saja la nak habaq kot kalau hangpa nak tau.

Seni ini, kalau dulu orang selalu fokus satu saja, iaitu seni bersifat estetikal, atau bahasa kampung kami sebut, nilai yang terkait dengan jiwa, deria, emosi, dan citarasa.

Samada dalam seni tarian, muzik, lukisan, menggambar, dan dah tentu, sebagai seorang penjual perfume yang budiman, kami akui hakikat bahawa seni wangian juga termasuk dalam kategori ini.

Ia melibatkan citarasa. Tetapi semenjak Almarhum Dato Meor Abdul Rahman (ADMAR) mengasaskan GAYONG, beliau bukan saja melakukan revolusi keatas sistem masyarakat dalam mempelajari silat, pelajaran silat, pentadbiran silat, malah ADMAR melakukan satu lonjakan dan pengembangan keatas maksud ‘seni’.

Cuba renung tengok.

Nama ‘Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia dan Serantau’ yang diasaskan ADMAR, meletakkan perkataan ‘seni’ selepas perkataan ‘silat’.

Sedangkan selalunya dan kebiasaannya, perkataan ‘seni’ sentiasa mendahului perkataan ‘silat’, lalu menjadi ‘seni silat’, kerana sifat seni itu estetikal — berkait dengan jiwa, rasa, lembut, deria, emosi dan seumpamanya — bagi merujuk kepada sifat silat yang mesti bermain dengan rasa, bermain dengan kelembutan dalam menyambut kekerasan.

Tindakan ADMAR mendahulukan perkataan ‘silat’ berbanding ‘seni’ ini, jangan anggap kecil kononnya ADMAR tersilap letak perkataan semasa hendak daftar pertubuhan.

Ini dia rahsianya, Seni silat, menggambarkan estetikal. Membawa seni kedalam silat atau melalui sifat lembut dan halus ditukar menjadi silat.

Sedangkan, Silat seni, menggambarkan teknikal. Perincian khusus keatas elemen keras dalam pertarungan, sifat tumbukan berfokus, kecepatan pergerakan, ketepatan lokasi serangan, kesemua ini ditukar menjadi ‘buah pukulan’, yang akhirnya membentuk sebuah seni dan dinamakan seni mempertahankan diri.

Nampak ke perbezaannya?

Walaupun hampir sama, tapi ia membawa maksud yang sangat ketara. Sebab itu penting mempelajari ilmu mantik, supaya pemilihan perkataan dan susunan perkataan itu betul dan membawa maksud yang tepat.

Bukan hendak membawa ketaksuban, tetapi hebatnya ADMAR, beliau melihat zaman sedang berubah, struktrur masyarakat sedang berubah, keilmuan sedang berubah, lalu beliau mengambil kesempatan untuk membuat perubahan secara keseluruhan.

Belum cerita cara pentadbiran pertubuhan dengan 3 badan berasingan, berpayung dibawah Ahli Lembaga Waris Amanah, yang diketuai oleh Mahaguru (sekarang Waris Amanah Mahaguru) yang diasaskan oleh ADMAR.

Penulisan oleh Mat Apit

Leave a Reply

Specify Facebook App ID and Secret in Super Socializer > Social Login section in admin panel for Facebook Login to work

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.