Blog
Spread the love

“..Whatever ingredients the perfumer has at his disposal, his creative sense will be tightly bound to breath of his era and the site of his work..”
Constatine Weriguine –

Sekolah Pemikiran Esfahan, Nissan GTR R35 Takumi dan Gordon Ramsey.


Sedang saya melayan perasaan sambil perhatikan Mat Hussain bermain kereta HotWheel, tiba-tiba teringatkan penerangan ringkas guru kami tentang istimewa Sekolah Pemikiran Esfahan.

Sekolah Pemikiran Esfahan, ada mengajarkan tentang hakikat kebenaran, dengan menggabungkan 3 jenis epistemologi jalan fikir agama.

Yang pertama, adalah sekolah pemikiran yang menggunakan asas logik atau menggunakan dalil aqliah dalam menentukan dan mengukur kebenaran.

Yang kedua pula, adalah kaum fekah, yang menggunakan nas-nas agama, untuk disesuaikan dengan konteks isu. Golongan ini menggunakan dalil quran, hadis, fatwa ulama silam dan sebagainya dalam menentukan kebenaran.

Yang ketiga pula, adalah golongan sufi, yang mengetengahkan mazhab intuisi atau hudhuri. Mereka ini bukanlah tak pentingkan kebenaran. Tetapi, kebenaran itu tidak terhad diterima setakat logik. Apa yang penting bagi mereka adalah sifat kaseh sayang, kemanusiaan dan cinta. Hakikat kebenaran itu berbeza-beza bagi setiap orang, justeru ia jarang dari dibincangkan.

Bak kata ahli sufi terkenal Jalaluddin Ar Rumi, “..Di daerah cinta, kebenaran itu digantung..”

Sekolah Pemikiran Esfahan pula, menggabungkan ketiga-tiga jalan fikir ini, dalam mengukur kebenaran.

  1. Kebenaran itu mestilah bertepatan dengan logik.
  2. Kebenaran itu mestilah mengikut garis panduan hukum syariat.
  3. Kebenaran itu, mestilah dibalut dengan intuisi, yang membuahkan cinta.

Lepas saya renung-renung semula penerangan ringkas ini dengan lebih dalam, saya terus teringatkan kereta Nissan GTR R35 Takumi.

GTR Takumi adalah keluaran istimewa Nissan GTR, kerana setiap bahagian kereta tersebut, adalah dipasang secara ‘handmade’ oleh master craftman Nissan, yang digelar sebagai Takumi.

Istimewanya kereta ini, adalah kerana ia menggabungkan jalan fikir dalam dunia kejuruteraan, iaitu melalui logik kira-kira penentuan aerodinamic, kekuatan engine, saiz piston, keluasan blok, saiz turbo dan sebagainya, mengikut aturan kitab kejuruteraan. Tidak cukup dengan itu, Nissan R35 Takumi ini juga, menggabungkan intuisi manusia dalam pemasangan setiap bahagian kereta, dari pemasangan piston, blok, turbo, timing chain, bla bla bla, sampai la kepada pemasangan ekzos, kerusi, dashboard, brake pad, dan seumpamanya, demi memastikan setiap rongga-rongga pada engine atau mana-mana bahagian kereta, hatta bersaiz mikron sekalipun, diperhalusi agar tidak cacat atau mengalami defect, yang sering terlepas pandang jika ia dibuat oleh mesin atau robot.

Disebabkan gabungan intuisi ini, maka jentera Nissan R35 Takumi, boleh kita katakan dibina juga atas dasar cinta. Maka tak hairan, orang seperti saya juga mudah jatuh cinta dengan jentera tersebut.

Keilmuan barat, jarang mengetengahkan intuisi.

Sebab tu, Chef terkenal Gordon Ramsey mudah-mudah kena ketuk tangan bila datang belajar masak rendang dengan tukang masak restoran kecil di Nilai, Aunty Aini. Aunty Aini adalah seorang tukang masak handalan Malaysia, yang kaedah masakannya banyak menggunakan intuisi.

Berbanding Gordon Ramsey yang memasak nasi pun sampai nak kena sukat berapa gram berat beras dan berapa ml kandungan air, Aunty Aini lebih banyak menegaskan tentang ‘agak-agak’ sewaktu memasak. Nak letak garam, agak-agak ikut sedap lidah. Nak masuk air, pun sama, agak-agak ikut sedap lidah. Tak main ikut buku resepi, atau timbang berat setiap satu bahan.

Ilmu ‘agak-agak’ ni, adalah ilmu intuisi, yang kemahirannya diasah berdasarkan pengalaman. Tak guna pengalaman berpuluh tahun dalam dunia masakan, tapi bila memasak, maseh nak ikut buku resepi bulat-bulat, sebijik-sebijik.

Bila dibuat dengan gabungan intuisi, selalunya ia membuahkan cinta. Sebab tu la kot, Restoran Aunty Aini tak pernah lengang dan sentiasa ada pelanggan ulangan, walaupun harga makanan di restorannya boleh buat terkejut jatuh kerusi.

Sama la juga dalam industri wangian.

Untuk menghasilkan perfume yang baik, tersusun runut aromanya, tidak bercelaru note-chord harumannya, proses penghasilannya mesti diikat bersama intuisi.

Intuisi adalah salah satu jalan, dalam memberikan keunikan aroma, supaya perfume yang dihasilkan tidak sama dengan perfume kebanyakan, yang dibancuh mengikut resepi, menggunakan flavour ready made.

Setiap proses, bermula dari suhu persekitaran untuk keringkan bahan mentah, penentuan suhu sewaktu penyulingan, tempoh pemeraman, suhu terbaik untuk pemeraman, juga jumlah kandungan setiap essential oil sebelum di sintesis kan menjadi satu kompoun wangian, adalah menggunakan gabungan ketiga-tiga jalan fikir iaitu, menurut resepi, menurut logik sains, juga menurut intuisi perfumer sewaktu menghasilkan haruman.

Sebab tu, apabila kita sebagai pengguna, mencuba satu-satu wangian, kita sendiri tak terlepas dari menggunakan intuisi juga dalam menilai haruman tersebut.

Maka dari itu, terbitlah rasa sayang, terbitlah rasa cinta.

Dari cinta juga, terhasil lah sebuah perfume dengan jenama Blackout dan Justica.

Penulisan oleh Saudara Mat Apit

Leave a Reply

Specify Facebook App ID and Secret in Super Socializer > Social Login section in admin panel for Facebook Login to work

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.